Tingkatkan Peranan PIBG
Oleh: MOHAMAD SOFEE RAZAK
PERSATUAN Ibu Bapa
dan Guru (PIBG) adalah organ penting kepada sesebuah institusi
pendidikan rendah dan menengah. Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat
besar serta mencabar, ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan,
keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif,
berwibawa serta bertaraf dunia.
Objektif dan visi
PIBG hendaklah selari dengan Misi Nasional; Dasar Pembangunan
Negara; Falsafah Pendidikan Negara (FDN); Dasar Pendidikan Negara (DPN);
Pelan Integriti Nasional (PIN); dan prinsip Islam Hadhari.
Akta Pendidikan 1961
memperuntukkan bahawa PIBG adalah entiti utama dalam sesebuah
sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam akta tersebut. PIBG
berperanan sebagai rakan kongsi sekolah dalam menyelesaikan masalah,
birokrasi dan isu yang timbul. Badan ini juga bertindak sebagai
wadah, forum dan khidmat bakti untuk kemajuan serta pembangunan
pelajar dan sekolah.
Ini turut meliputi
sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah, akademik, disiplin,
sistem pemantauan dan penilaian. Penekanan kepada kurikulum dan
pentaksiran amat penting, termasuklah pemantauan maklumat dan
komunikasi, penyelidikan dan pembangunan, kewangan serta
infrastruktur sekolah.
Perlembagaan PIBG
menetapkan bahawa keahlian badan ini hendaklah terdiri daripada
setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah
berkenaan. Institusi ini boleh bertindak melengkapkan prasarana
keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer;
penyediaaan akses jalur lebar SchoolNet ke sekolah; perpustakaan
yang lengkap; program TV Pendidikan; pusat sumber yang mapan;
kemudahan sukan dan rekreasi yang mantap dan berkesan; serta
pelbagai inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang
lain.
Ini termasuklah
kemudahan akses internet, paparan kristal cecair (LCD), kafe siber
di sekolah dan lain-lain lagi yang mampu menyokong aspirasi
kecemerlangan sekolah.
Inilah agenda dan
misi yang sepatutnya menjadi matlamat serta perjuangan barisan
kepimpinan dan pengurusan PIBG. Dan bukannya menjadikan PIBG sebagai
platform politik murahan, gelanggang mengejar nama dan pangkat,
medan mesyuarat ala kedai kopi atau perebutan jawatan demi
kepentingan diri sendiri dan mempunyai agenda tersembunyi yang tidak
memberi sebarang manfaat dan kebaikan kepada pembangunan sekolah dan
masa hadapan pelajar.
Barisan kepimpinan
PIBG juga hendaklah menginsafi dan dengan penuh tanggungjawab
melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul di bahu mereka.
PIBG yang bertindak
sebagai entiti utama, membolehkan kelompok ibu bapa dan guru
berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai pendidikan
semasa dan method meningkatkan lagi prestasi akademik dan
kokurikulum pelajar. Pembangunan modal insan perlu dengan tumpuan
kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri
pelajar.
Ini bermatlamat
melahirkan produk generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan
seimbang. Hasilnya produk pelajar tersebut kompeten dalam sains dan
teknologi, inovatif, mampu bersaing di pasaran global, berdikari,
kreatif serta kebolehpasaran dalam apa jua bidang dan jurusan yang
diceburi mereka pada masa akan datang.
Pengumuman keputusan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM) baru- baru ini sekali lagi menguji tahap prestasi
sekolah dan keberkesanan fungsi kepimpinan dan pengurusan PIBG.
Badan ini sedikit sebanyak memberi impak positif melalui program dan
aktiviti yang dianjurkan.
PIBG juga dilihat
mampu bertindak sebagai peneraju serta pencetus kejayaan pelajar di
dalam peperiksaan awam yang diduduki, di samping faktor dalaman dan
luaran lain yang menjadi asas kepada kejayaan mereka. Persoalannya
ialah sejauhmanakah PIBG telah berjaya menentukan hala tuju dan misi
sekolah agar terus berada pada landasan yang betul.
Adakah matlamat,
piawaian dan penanda aras yang ditetapkan, berjaya dicapai oleh PIBG
dan sekolah ke arah melahirkan generasi yang memiliki ciri-ciri
pemikiran dan tindakan glokal, patriotik, berdisiplin, beradab dan
beretika, menjunjung tinggi warisan budaya dan kesenian bangsa.
Bagi sekolah yang
peratusan kelulusan masih rendah atau gagal mengekal prestasi
kecemerlangan sekolah, maka PIBG dan pihak sekolah perlu melakukan
sesuatu bagi menaikkan imej, identiti dan menjaga nama baik sekolah
agar tidak dipandang rendah.
Mungkin lebih banyak
kelas tambahan perlu diadakan dengan memanggil guru pakar memberi
latihan serta memperbanyakkan kursus motivasi kepada pelajar yang
lemah dan kurang potensi. Medium pembelajaran berteraskan akses
Internet hendaklah digalakkan kerana pelajar boleh
mengaplikasikannya sebagai sumber rujukan tambahan yang tiada di
dalam bilik darjah, buku teks dan rujukan lain.
Banyak portal dan
blog pendidikan yang berfaedah kepada pelajar dan guru untuk
diterokai, sama ada produk tempatan ataupun luar negara. Pelajar
juga mudah menyerap serta memahami apa yang telah mereka pelajari
menerusi program multimedia dan internet yang membolehkan mereka
mengulang kaji pada bila-bila masa sahaja. Mereka juga boleh
berinteraksi dan berbincang berkenaan pembelajaran dengan
rakan-rakan dari sekolah yang sama atau berlainan melalui medium
Internet. Ini menjadikan suasana dan realiti pembelajaran menjadi
lebih menarik, moden dan mesra IT. Pembelajaran pintar ini dapat
diaplikasikan melalui medium e-mel, chatting, blog dan sebagainya
dari bilik masing-masing atau di kafe siber sekolah.
Oleh yang demikian,
PIBG perlu memikirkan tentang perlunya penyediaan kemudahan kafe
siber di setiap sekolah bagi membolehkan pelajar dan guru
berinteraksi sesama mereka di luar waktu persekolahan. PIBG juga
hendaklah mampu memandu sekolah sebaris dengan kelompok sekolah
bestari dan berpotensi dikategorikan di dalam sekolah kluster atau
Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) seperti yang diumumkan baru-baru
ini. Peruntukan sebanyak 300 buah sekolah kluster seluruh negara
perlu diisi dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Manakala Sekolah
Bestari pula yang diperkenalkan pada tahun 1999 sebagai menyokong
aspirasi Wawasan 2020 dalam mewujudkan sebuah generasi baru modal
insan yang pemikir serta celik teknologi bagi menghadapi cabaran era
maklumat serta ekonomi yang berasaskan pengetahuan global menerusi
aplikasi utama MSC Malaysia.
Ini adalah penanda
aras dan objektif kecemerlangan yang perlu diusahakan oleh sesebuah
sekolah yang mahu ke hadapan dan berdaya saing.
Di samping itu juga,
PIBG perlu mencari formula mujarab dan berkesan bagi menangani
masalah sosial pelajar sekolah yang semakin parah dan serius.
Masalah merokok, penagihan dadah dan pornografi, seks bebas dan
pelbagai bentuk jenayah lain seperti mencuri, mencabul, membuli dan
sebagainya hendaklah dibanteras secara bijak dan berhemah agar
perkara ini tidak terus berlarutan dan menjadi barah dalam dunia
pendidikan.
Peningkatan dan
pertambahan jenayah dan masalah sosial ini amat membimbangkan, maka
PIBG hendaklah segera bertindak dan mencari jalan penyelesaian yang
positif. Satu pelan bertindak yang holistik dan realistik diperlukan
agar perubahan dan pembaharuan dapat dilakukan melalui kaedah,
formula dan method terbaik dan paling berkesan. Untuk itu,
penglibatan dan kerjasama semua pihak perlu bagi mengatasi masalah.
Inisiatif ini perlu
digemblengkan sewajarnya dengan bantuan pihak kerajaan, ulama, ahli
politik, tokoh pendidikan, NGO, majlis alumni sekolah, pihak swasta
dan masyarakat seluruhnya.
Pelancaran Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, menuntut PIBG turun
padang merencanakan teras strategi PIPP ke arah membina negara
bangsa; membangunkan modal insan; memperkasakan sekolah kebangsaan;
merapatkan jurang pendidikan; memartabatkan profesion keguruan; dan
melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Sekiranya semua
elemen ini berjaya diterjemahkan sebaiknya, maka dinamika dan
keanjalan sistem pendidikan mapan kita akan dicontohi dan dikagumi
dunia.
Pelan ini hendaklah
dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, cekap, berhikmah, telus,
amanah dan bertanggungjawab. Langkah ini sejajar dengan hasrat yang
terkandung dalam Misi Nasional dan penekanan Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK-9) yang menetapkan pembangunan modal insan yang
memiliki minda kelas pertama. Gagasan dan misi besar ini tidak akan
berjaya, sehinggalah subjek sasaran atau pelajar digilap dengan
prinsip agama dan kemanusiaan.
Di samping itu, pihak
PIBG seharusnya bijak mengadakan jaringan dan kerjasama bijak dengan
institusi pendidikan terbaik dan cemerlang tempatan dan luar negara
seperti Singapura, Amerika Syarikat dan England. Perkongsian pintar
maklumat dan teknologi pendidikan terkini perlu diadakan agar sistem
pendidikan tempatan lebih efisien, sofistikated, kompeten dan tidak
ketinggalan zaman.
Melalui perkongsian
pintar ini maka medan pendidikan di negara kita menjadi lebih
terbuka, seimbang dan seiring dengan peredaran zaman. Melalui
kepimpinan dan pentadbiran PIBG yang cekap dan profesional, maka
tidak mustahil sistem pendidikan di negara kita bakal berada dalam
keadaan yang harmoni, kreatif, inovatif, akomodatif, moden serta
ekonomik sepanjang masa.
- MOHAMAD SOFEE RAZAK ialah seorang
peguambela dan peguamcara.