|
Petikan : Blog "Bicara pendidikan
Semasa" : 10/06/2008
PIBG
: ORGAN PENTING SEKOLAH
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
adalah organ penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan
menengah. Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar,
ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan
kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif, berwibawa serta
bertaraf dunia. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditubuhkan
di semua sekolah kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan
permuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan.
Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman
tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk
meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah,
selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak
sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat (school-home-community
partnership). Disamping itu, PIBG juga mempunyai peranan ‘saling
lengkap melengkapi’ terhadap fungsi Kementerian Pelajaran Malaysia
dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang
kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.Ia
bukan sahaja sebagai entiti yang penting kepada institusi sekolah
malah ia menjadi wadah penghubung antara pihak ibu bapa dengan
sekolah demi kemajuan pendidikan bersama.
Tujuan-tujuan PIBG seperti dinyatakan dalam Akta Pendidikan
1996 adalah
(a) untuk mengadakan sesuatu forum dan
perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid–murid dalam Sekolah
dalam menigkatkan imej Sekolah;
(b) untuk membantu dan menambah usaha
Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid–murid
dalam kegiatan mereka;
(c) untuk membolehkan ibu bapa dan guru
dalam Sekolah bertukar- tukar fikiran dan maklumat mengenai
pendidikan;
(d) untuk memberi peluang kepada ibu
bapa dan guru dalam Sekolah berunding antara satu sama lain dengan
cara memperbaiki taraf pendidikan anak–anak mereka pada amnya; dan
(e) untuk membolehkan ibu bapa dan guru
dalam Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan
meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan
pengajaran dan pembelajaran.
Manakala fungsi PIBG ialah untuk
menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan – tujuan
persatuan yang dinyatakan di perenggan 3, seperti;
(a) membantu dalam memajukan
perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;
(b) menambah sumber kewangan Sekolah
bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah;
(c) meningkatkan kemesraan dan
menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan
masyarakat setempat;
(d) meningkatkan keceriaan premis
Sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi
menjayakan aktiviti dan program pendidikan.
Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa keahlian badan ini
hendaklah terdiri daripada (
a) semua guru di Sekolah;
(b) ibu bapa kepada murid yang belajar
dalam Sekolah ; dan
(c) warganegara Malaysia yang diluluskan
permohonan untuk menjadi anggota persatuan oleh pegawai pendidikan
daerah atau pegawai pendidikan bahagian atau pendaftar, mengikut
mana yang berkenaan ; dan Guru Besar atau Pengetua sekolah hendaklah
menjadi anggota ex officio dan Penasihat Persatuan.
PIBG ialah rakan kongsi sekolah. Dalam hal ini, penglibatan
PIBG amat perlu bagi memajukan sekolah melalui permuafakatan,
perancangan yang teliti, dan kerjasama yang erat antara ibu bapa dan
guru. Kita perlu sedar bahawa sekolah merupakan sebahagian daripada
komuniti, sebagaimana institusi keluarga, masjid, perpustakaan awam,
dan sebagainya. Sebagai sebahagian daripada komuniti, maka sekolah
mesti didampingi, diaktifkan, dan digerakkan oleh masyarakat di
sekelilingnya. Masyarakat terutamanya ibu bapa perlu bersama-sama
komited demi kemajuan dan kecemerlangan sekolah.
Cabaran kini dan mendatang dalam
pendidikan di sekolah menuntut kita memerlukan PIBG yang mantap
organisasinya, sekaligus mempunyai pelan tindakan dan perancangan
jangka panjang yang memungkinkannya berfungsi secara aktif dan betul
serta tepat kepada sasarannya. PIBG memerlukan kehadiran pemimpin
dan pengikut berwibawa serentak. Dengan adanya pemimpin dan pengikut
sedemikian, pelbagai perancangan dan tindakan yang dilaksanakan
boleh mencapai kejayaan yang diinginkan. PIBG seperti inilah yang
boleh menjadi tunjang kemajuan sesebuah sekolah.
Sumber :
http://azman2020.blogspot.com/2008/06/pibg-organ-penting-sekolah.html |